KUCHING: Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan membina kira-kira 600 unit rumah di kawasan perumahan baharu Kampung Segedup- Sungai Maong dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia dibina menerusi skim perumahan untuk fasa pertama di kawasan perkampungan baharu Segedup- Sungai Maong.
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, rancangan untuk menjadikan Kampung Segedup sebagai kawasan perumahan itu dirancang baik dengan membuka kawasan perumahan baharu.
Katanya, kerja-kerja penyukatan jalan raya dan kawasan perumahan itu dilakukan Jabatan Tanah dan Survei (JTS).
“Kawasan perumahan itu nanti akan dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur seperti sistem jalan raya dan perparitan baik selain kemudahan utiliti untuk keselesaan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Kesyukuran dan Malam Apresiasi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) di sini, malam tadi.
Hadir sama, Menteri Kanan Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki serta ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N8 Satok.
Abang Johari yang juga Yang di-Pertua Parti PBB berkata, kawasan baharu Kampung Segedup- Maong itu merupakan rancangan jangka panjang kerajaan dalam usaha memberi peluang kepada penduduk memiliki rumah sendiri.
Oleh sebab itu, sebagai meringankan beban rakyat negeri ini katanya, Kerajaan GPS mengotakan janji untuk memberi wang pendahuluan RM10,000 bagi pembelian rumah pertama untuk kumpulan B40.
“Adalah menjadi dasar Kerajaan GPS m membawa pembangunan secara teratur untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti